Sejarah penubuhan sekolah


Tarikh Penubuhan

Tarikh 6 Januari 1952 adalah merupakan detik permulaan Sekolah Kebangsaan Olak Lempit diwujudkan dengan menggunakan nama ‘Sekolah Melayu’ iaitu nama yang dikenali bagi sekolah-sekolah aliran di zaman penjajah.

Mengapa perlu didirikan di kawasan ini

Sebelum sekolah ini didirikan, sebilangan besar anak-anak Kampung Olak Lempit bersekolah di Sekolah Melayu Sungai Manggis iaitu jaraknya kira-kira 6 kilometer dari kampung ini. Kebanyakannya hanya kanak-kanak lelaki sahaja yang pergi bersekolah sementara kanak-kanak perempuan tidak bersekolah kerana sekolah terlalu jauh dari tempat tinggal dan kanak-kanak ini terpaksa berjalan kaki ke sekolah.

Memikirkan masalah inilah penduduk Kampung Olak Lempit berusaha untuk mendirikan sebuah sekolah di kampung mereka sendiri bagi menempatkan lebih ramai lagi kanak-kanak yang dahagakan pelajaran. Dengan semangat gotong-royong yang menjadi amalan dan tradisi serta tenaga yang gigih daripada ahli-ahli masyarakat yang berjiwa ingin maju ketika itu, maka terdirilah sebuah bangunan kayu yang beratapkan nipah, berlantaikan  papan dan dinding sekerat, luasnya 25 × 50 kaki persegi.
Setelah sekolah siap dibina, murid-murid darjah 2 dan 3 di Sekolah Melayu Sungai Manggis berpindah ke sekolah ini. Walaupun dasarnya sekolah sudah siap dibina, tetapi telah menempuh berbagai-bagai masalah kerana segala-galanya dalam keadaan serba kekurangan. Selain daripada kekurangan kemudahan-kemudahan asas seperti air, tandas dan bilik-bilik darjah yang sempurna, masalah besarnya ialah kekurangan tenaga pengajar. Sekolah ini pada masa itu menampung seramai 60 orang murid dan hanya mempunyai 2 orang guru sahaja iaitu seorang Guru Besar dan seorang guru penolong (guru pelatih).

Apabila negara kita telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, satu jawatankuasa bertindak bagi sekolah ini telah ditubuhkan pada awal tahun 1958 dengan tujuan untuk mendapatkan sebuah bangunan sekolah yang baru.

Satu rombongan telah dihantar beberapa kali pergi menemui Pegawai Pelajaran dan surat-surat permohonan yang berulang-ulang kali dihantar. Akhirnya, pada pertengahan tahun 1962 sebuah bangunan baru mula didirikan. Sesungguhnya Sekolah Melayu Kampung Olak Lempit yang mula-mula didirikan itu dapatlah dikatakan sebagai perintis kepada keadaan yang ada pada hari ini.

Sekolah Melayu Olak Lempit kemudian bertukar nama menjadi ‘Sekolah Umum’ iaitu pada awal 60-an dan seterusnya menjadi ‘Sekolah Kebangsaan Olak Lempit’


Bagaimana Sekolah Mendapat Nama

Sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan kerana  sekolah ini aliran Melayu yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Nama Olak Lempit digunakan berdasarkan nama tempat sekolah ini didirikan. Dengan ini ia disebut Sekolah Kebangsaan Olak Lempit.

Kampung Olak Lempit pula mendapat namanya mengikut sejarahnya, ada sebatang sungai di kampung ini yang menjadi laluan utama pedagang luar untuk pergi ke Kampung Labohan Dagang iaitu kampung yang paling hanpir dengan Kampung Olak Lempit. Pada suatu hari, ada beberapa orang pedagang yang pertama kali melalui sungai ini secara kebetulan singgah untuk berehat. Setelah berehat menikmati keindahan alam sekeliling,, mereka meneruskan perjalanan. Sewaktu berjalan mengikut arah sungai mengalir, mereka mendapati bahagian hulu sungai itu agak sempit,, bengkang-bengkok dan arusnya pula sangat deras. Salah seorang daripada mereka memanggil sungai ini ‘Olak” kerana arusnya berolak manakala rakannya yang lain menambah ‘Lempit’ disebabkan sungainya sempit. Sejak itu kampung ini dikenali dengan nama ‘Olak Lempit’ hingga ke hari ini.

0 comments:

Post a Comment